Wednesday, September 10, 2008

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Sekitar 50 tahun lalu, sebelum Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melancarkan Kempen Budi Bahasa, buat pertama kalinya kita mengesan kempen ini telah pun dilakonkan secara tersirat di Studio Jalan Ampas. Baru-baru ini (5 Jun lalu), melalui Seniman Bujang Lapok (TV2) kita dapat melihat watak-watak yang menggunakan bahasa Melayu kasar secara berleluasa.

Watak sutradara yang kasar mencemuh tunas pelakon baru dipaparkan.Anak-anak muda yang kecewa kerana gagal dalam sesi uji bakat, menjadi dengki kepada para tunas-tunas baru pula. Ertinya, pengucapan Melayu yang liar dan kasar ini bukan sahaja wujud dalam program seperti Malaysian Idol, American Idol dan lain-lainnya yang ada hari ini. Bahkan, ia hadir seiring dengan kewujudan Malay Film Production itu sendiri.

Mungkin bezanya kini, ucapan para penilai vokal calon-calon rancangan itu sudah bercampur baur dengan bahasa Inggeris yang menyebabkan para penonton tidak hiraukan sangat aspek tutur kata serta budi bahasa. Calon baru yang terkeluar dari senarai pilihan akan merungut marah-marah lalu bertindak balas memaki hamun penilai mereka pula dengan bahasa cemuhan yang tidak kurang kalah berbanding penilai tadi.

Adakah pengangguran antara penyebab utama, mengapa anak-anak muda ini terus menceburi dunia seni lakon setelah peluang kerjaya makin sempit? Hal itu tidak dapatlah dijawab kerana setakat ini, rasanya, belum ada kajian yang meninjau permasalahan itu.

Apakah mereka mencari publisiti ataupun menjadikan landasan mudah itu sebagai jalan yang singkat bagi menampung ekonomi kehidupan? Lalu, apabila mereka tersingkir semasa uji bakat, mereka mula mengucapkan bahasa kasar kerana hilang punca rezeki? Sekali lagi, kita tidak tahu, kerana tiada orang yang mengambil pusing hal ini.

Kalau begitu, kita memang sukar menerapkan budi bahasa dalam masyarakat kita. Apa yang berlaku seawal kemunculan Studio Jalan Ampas kembali berulang. Tapi, kalau kita tidak mendebatkannya lebih dalam, adakah kita mampu memberikan penawar yang ampuh untuk merawat ‘luka’ percakapan kasar oleh bangsa Melayu?

Sesekali, kita tentu terfikir. Mengapa agaknya istilah ‘Budi’ dikembarkan dengan ‘Bahasa’. Kesimpulan awal yang boleh diambil ialah, orang yang berakhlak dan bermoral tinggi ialah orang yang cerdik menggunakan bahasanya.

Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya tentang bahaya lidah. Banyak peringatan daripada Nabi yang menganjurkan manusia menjaga lidahnya. Misalnya, seorang wanita menemui Nabi lalu berkata,“Ya Rasulullah, jiranku sangat warak. Malamnya diisi dengan tahajud, siangnya dia berpuasa. Tapi, aku tidak pernah merasa aman daripada lidahnya.” Sabda Rasulullah s.a.w, “Ketahuilah, bahawa dialah penghuni neraka.”

Mengapa manusia hilang budi bahasa? Mungkin kerana tekanan hidup atau hilang pegangan. Ada manusia yang hidup, tumbuh dan membesar dikelilingi oleh persekitaran yang menyebabkan dia terdorong menggunakan bahasa kasar. Misalnya, abang dan kakak yang selalu mengherdik adik, lama-kelamaan nilai itu tumbuh dan menyebati dalam jiwa anak-anak yang baru lahir tanpa apa-apa pengertian itu.

Lebih malang, jika ada manusia yang pada asalnya baik, tetapi bertukar wataknya kepada nakal, biadap, kasar penggunaan bahasanya kerana kesan pengaruh kawan-kawan. Yang sukar sekali, ialah bagaimana mengembalikan insan yang kasar ucapannya kepada manusia yang berwibawa. Ini kerana, manusia dalam kelompok ini mungkin tiada contoh ikutan teladan yang semenjak di alam kanak-kanak dan remaja.

Konflik adalah salah satu hal yang mampu menukar tabiat serta perwatakan insan yang baik menjadi lebih buruk. Misalnya, jikalau ada negara yang dilanggar musuh,maka rakyatnya jadi pelarian, lalu terganggu emosi mereka. Dari itu, apakah kita menyalahkan suratan takdir yang terlakar di langit tinggi yang menyebabkan kecacatan moral?

Apakah kita terus menghumban kesalahan serta beban tanggungjawab itu kepada konflik sebagai alasan mengapa kita menjadi biadap? Bukankah kesabaran itu penawar? Konflik ada di mana-mana. Hatta, setiap hari ada konflik kecil berlaku di depan mata.

Kucing peliharaan yang manja tiba-tiba bengis apabila melihat wilayah mereka diceroboh oleh kucing dari wilayah lain. Bagaimanapun, kata-kata kasar haiwan tidaklah mengapa, kerana mereka sememangnya tidak berakal. Apakah kita perlu mengurangkan konflik, maka barulah manusia semakin beradab. Mungkin juga.

Tapi, konflik tetap konflik. Ia hadir di mana-mana. Bezanya, mungkin konflik itu kecil atau besar. Jadi, jika konflik tidak dapat dibanteras, apakah mungkin ada jalan lain? Konflik akan tetap wujud seperti yang tertera dalam memorandum bantahan malaikat kepada Tuhan; “Adakah Engkau menjadikan di bumi orang yang merosakkan bumi dan menumpahkan darah?” (2:30).

Oleh itu, konflik terus berlaku tanpa ada cara menghentikannya. Tetapi Islam dan Melayu telah menawarkan pilihan mengenai bagaimana kaedah merawat konflik itu. Dari itulah, kita mesti berbahasa dengan baik dan halus. Dalam alam Melayu, para hulubalang berpantun terlebih dahulu sebelum bertarung. Itulah yang membezakan antara hulubalang yang berkeris dan berpantun, dengan haiwan yang berkuku dan saling bercakaran.

Jika begitu, ada baiknya kita hidupkan semula amalan ini, selaras dengan saranan Usman Awang dalam sajaknya, “Melayu”, iaitu “… berkelahilah cara Melayu, menikam dengan pantun …,”. Tambahan pula, slogan kempen budi bahasa juga diambil daripada pantun oleh Buya Hamka; “Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi, rumah binasa …”.

Tidak salah jika Melayu zaman ini mencipta pantun dan peribahasa baru. Semoga ia menjadi khazanah masa depan. Ada peribahasa baru yang terkenal dalam pendidikan; “Study biar lepak, result biar gempak”. Namun, ia tidak kuat untuk mengangkat falsafah pemikiran bangsa. Selain bahasa rojak, ia juga menawarkan makna; belajarlah bersantai, tetapi ujian peperiksaan mestilah tinggi. Apakah sebenarnya yang ingin dipersembahkan?

Kemudian, kita boleh juga berpantun dengan menceduk sedikit pantun lama yang disulami dengan peristilahan baru; “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong bolehkah jadi menteri?”. Kemudiannya, lawan berbicara bolehlah juga menjawab begini, “Ketuka cencaru toman ikan keli, suka merapu, teman saman nanti!”. Dan konflik itu tamatlah dalam majlis keraian.

Boleh juga kita mencipta peribahasa supaya mengelakkan konflik itu dari panjang lebar. Umpamanya, “Berpantun-pantun dulu, bertikam lidah kemudian, berdebat-debat dulu, pecatlah jawatannya kemudian”. Inilah yang terbaik dari memanjangkan pertikaian bangsa Melayu di media. Lebih baik memutar kata-kata daripada memutarkan akta-akta!